Anda Pengunjung ke

10 Penilaian Ketika Melamar Atau Dilamar

Tertarik untuk ana post tentang bagaimana atau apa yg perlu di lakukan ketika diri di lamar atau melamar...
sumber darihttp://www.myilham.com/blog/2011/11/10-penilaian-ketika-melamar-atau-dilamar/
Penting ni....selamat membaca sahabat ! =)


” Saya dikenalkan dengan seorang ‘akh’ ini oleh orang tengah. Kami diberi masa untuk saling berta’aruf. Cuma saya tidak tahu apa ciri-ciri yang perlu saya tahu atau tanyakan tentang dia..”
” Ikutkan memang sudah berkenan, tapi mahu mengenali lebih dalam. Apa sepatutnya yang perlu diketahui sebelum berkahwin? ”
” Dalam tempoh dikhitbahkan ( ditunangkan ) ini sebenarnya apa yang perlu kami tahu tentang diri masing-masing? “
Banyak lagi soalan lain. Semuanya berkisar tentang topik yang sama. Sebelum nak hidup bersama, mahu kenal mengenal terlebih dahulu. Bahkan Islam pun sarankan begitu. Tetapi menjadi masalahnya apabila tidak tahu apa yang patut ditanya atau diketahui, walaupun dalam masa yang sama ada juga yang terlebih tanya dan terlebih tahu.
Jadi kali ini, saya kongsikan beberapa perkara yang perlu dijadikan penilaian samada ketika anda dilamar ataupun sewaktu menerima lamaran.
Pertama : Kehidupan Beragama
Dalam hadith Nabi s.a.w sebut ; pilihlah dalam hal agama. Agama sudah tentulah Islam. Tetapi yang dimaksudkan adalah nilai beragama pada seseorang individu tersebut. Bagaimana komitmen dia dengan amalan wajib dan amalan sunat. Gemar solat di masjid atau di rumah. Begitu juga dengan puasa sunat, bersedekah, bermuamalah dengan masyarakat, melazimi kuliah-kuliah agama dan sebagainya. Bahkan kehidupan beragama ini konteksnya luas, mungkin meliputi perkara-perkara lain yang akan saya sebutkan nanti. Kerana itu, Nabi s.a.w meng highlight kan perkara tersebut.
Kedua : Sahsiah, Akhlak dan Personaliti
Dia orang yang bagaimana. Ini cukup penting. Peribadi luaran kadang kala jauh berbeza dengan dalaman. Ada orang dinilai sebagai garang secara luarannya, walhal dia seorang yang cukup lembut dan bertolak ansur. Begitu juga sebaliknya. Apa yang mencorakkan kesemua ini sudah tentulah agama dalam diri orang tersebut. Maka bab akhlak dan sahsiah perlu dititikberatkan. Perlu diketahui sifat, sikap dan watak orang tersebut. Mungkin dia seorang yang egoistik, sukar berlapang dada atau terlalu lembut sehingga tiada langsung nilai ketegasan padanya. Begitu juga dengan personaliti. Dia seorang yang kemas, selekeh atau biasa-biasa sahaja. Dia seorang yang mengambil berat tentang penjagaan masa atau sekadar sambil lewa. Dia seorang yang suka menolong orang atau mementingkan diri sendiri. Begitulah seterusnya.
Ketiga : Kepimpinan dan Kematangan
Lebih-lebih lagi kalau anda wanita. Bab kepimpinan pada seorang lelaki sangatlah penting untuk diselidiki. Namun sebenarnya, ia adalah soal bagaimana orang tersebut membuat keputusan dan mengambil pendirian dalam hidup. Ia adalah soal kematangan dalam mengambil keputusan. Lebih mudah diketahui tentang ini kiranya orang tersebut terlibat dengan sesuatu persatuan atau pertubuhan. Tetapi yang tidak terlibat, tetap juga perlu dinilai sudut tersebut. Mungkin boleh dilihat dari sudut bagaimana seseorang itu menghadapi masalah. Dia mampu berdikari menyelesaikan sendiri atau masih perlukan bantuan orang, seumpama ibu bapa, sanak saudara dan sebagainya. Boleh juga dinilai ‘keunikan’ pada hidup seseorang itu, maksud saya tentang apa yang dia buat yang tidak sama dengan orang lain buat. Dari situ kita boleh menilai samada dia seorang yang punya prinsip tersendiri ataupun tidak ada prinsip dan cenderung menjadi ‘lalang’ semata-mata.
Keempat : Pergaulan atau Kehidupan Bermasyarakat
Boleh jadi orang tersebut dari jenis ‘hikikomori’, siapa tahu. Boleh jadi juga dia seorang yang peramah, banyak mulut dan mudah didekati. Boleh jadi dia seorang yang gemarkan privacy dan boleh jadi dia seorang yang ‘boleh mati’ jika berada dalam suasana sunyi. Ini penting untuk diketahui bagi tujuan membandingkan keserasian dengan diri anda sendiri. Kata orang, Allah jadikan jodoh itu berbeza lelaki dan perempuan, maknanya kalau si lelaki pendiam si wanita mesti banyak mulut. Begitu juga kalau si lelaki keras, si wanita lebih lembut. Tetapi kata-kata ini sukar juga dibuktikan, kerana di sana ada banyak pasangan yang mana si suami pendiam dan si isteri juga sangat pendiam. Apapun, selidiklah sebaiknya dari sudut pergaulan orang tersebut dan juga kehidupan bermasyarakat.
Kelima : Komitmen Keluarga
Ada orang prinsipnya ‘family come first’ tetapi ada orang tidak. Ada yang terlalu gemar berdikari sehingga keluarga dipinggirkan. Ada yang terlalu tidak pandai berdikari sehingga semuanya masih bergantung pada keluarga. Tetapi rasionalnya menyelidik dari sudut ini adalah, kita sebolehnya mahukan pasangan yang sederhana. Tidak terlalu ‘ketat’ dengan keluarga sehingga langsung tiada ruang berdikari. Tidak juga terlalu renggang sehingga nantinya hidup sendiri-sendiri. Boleh jadi juga apabila mengetahui keadaan orang tersebut dari sudut ini, akan lebih menjadikan anda kenal dengannya. Boleh jadi dia ada masalah keluarga dari kecil, maka di samping anda tahu dan membuat pertimbangan, anda juga boleh fikirkan bagaimana untuk membantu kiranya anda diberi ruang dan peluang.
Keenam : Perancangan Hidup
Ini cukup penting untuk diketahui. Perancangan jangka masa panjang dan juga perancangan jangka masa pendek. Dalam masa yang sama, anda juga seharusnya SUDAH ANDA perancangan-perancangan tersebut. Kemudian barulah boleh di’kembar’kan dan dibandingkan peluang atau masalah yang ada. Di samping itu, anda boleh juga menilai samada orang tersebut jenis yang berperancangan ataupun tidak. Kebanyakan lelaki tidak mempunyai perancangan yang jelas sebelum berkahwin. Bahkan ramai yang fikirnya hanya hari ini dan esok, lusa pula cerita lain. Nilai pula dengan diri anda. Kalau anda ‘anti’ dengan jenis tersebut maka buatlah penilaian sebaiknya. Apapun, bab perancangan calon kita sangat penting untuk diketahui lebih-lebih lagi sebelum kita bersetuju untuk menerima.
Ketujuh : Hobi dan Minat
Kadang-kadang, kalau anda bertaaruf melalui borang, apa yang ditulis tentang hobi atau minat tidak menyeluruh. Kadang-kadang, ia seolah sekadar ‘mengisi ruang kosong dengan jawapan yang betul’. Tetapi seseorang itu boleh diketahui hobi atau minatnya dengan lebih jelas dan ‘jujur’ di luar borang mahupun kertas. Selidiki tentang apa yang orang tersebut suka buat di masa lapang atau tidak lapang. Mungkin terlibat dengan gerakan tertentu, pertubuhan tertentu, kumpulan tertentu dan sebagainya. Selidik juga tentang kecenderungan. Ini penting. Dia seorang yang cenderung kepada motosikal, atau pengembaraan, atau penulisan, atau penternakan dan sebagainya. Kecenderungan ini pula perlu dinilai samada memberi kesan besar kepada anda dan perancangan hidup ataupun tidak.
Kelapan : Pantang Larang atau Prinsip
Di atas telah saya sebutkan tentang prinsip hidup, namun ini mungkin lebih kepada pantang larang. Contohnya, dia seorang yang pantang kalau menunggu orang lebih dari 10 minit. Reaksi biasanya adalah, dia akan terus batalkan pertemuan atau perjanjian yang dibuat. Itu tentang dia. Mungkin juga pantang larang dari segi keluarga. Ini juga perlu diketahui. Mungkin keluarganya jenis yang ada pantang larang tertentu. Contohnya, pantang bermenantukan orang Kelantan. Ini berlaku. Contoh lain, pantang anak-anak membuat keputusan sendiri walaupun melibatkan hidup mereka. Atau, pantang anak-anak berkeluarga dan berpindah keluar dari rumah ibu bapa. Sebaiknya, perkara-perkara seperti ini anda tahu dan faham terlebih dahulu.
Kesembilan : Poligami atau Monogami
Meskipun fitrah lelaki itu adalah poligami dan fitrah wanita pula adalah monogami, namun tidak bermakna keduanya akan beroleh hidup seperti itu. Dan tidak juga bermakna keduanya bersetuju merealisasikan fitrah seperti itu. Ada lelaki memang meletakkan syarat supaya membenarkan dirinya berpoligami. Ada wanita memang meletakkan syarat supaya tidak dimadukan, dan sebagainya. Kalau anda wanita dan dilamar, sebaiknya tanyakan dan ketahui pendirian lelaki tersebut tentang hal ini. Tetapi haruslah diingat, bahawa kata-kata, pengakuan mahupun janji-janji lelaki itu tidak menjadi jaminan bahawa dirinya tidak akan berpoligami pada masa akan datang. Itu cerita tentang takdir, Allah sahajalah yang Maha Tahu.
Kesepuluh : Demand pada Pasangan
Ketahui apa yang dia mahukan dari pasangan. Bukan sekadar luaran tetapi juga dalaman. Ada orang secara luarannya dia mahu yang putih, tinggi, hidung mancung dan sebagainya. Ada juga yang secara dalamannya, dia mahukan pasangan yang memahami, murah senyuman, aktif, suka bergurau, berfikiran jauh dan sebagainya. Segala demandorang tersebut sebaiknya anda tahu untuk dijadikan penilaian. Mungkin ada antaranya yang bersifat boleh dilengkapi dan ada juga yang tidak boleh dilengkapi. Mudahnya, demand orang tersebut dari segi rupa paras, karier, sikap, sifat, kelemahan, kelebihan dan sebagainya.

Penutup
Buat akhirnya, suka saya berpesan, bahawa berkenalan sebelum kahwin tidak akan sama dengan berkenalan selepas kahwin. Namun kepentingan untuk kenal sebelum kahwin tetap ada, meskipun tidak menyeluruh. Apa yang saya kongsikan di atas, mungkin antara beberapa perkara yang dirasakan paling penting untuk diberi perhatian. Moga Allah tunjukkan jalan dan berikan panduan.
Sekian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terima Kasih Sudi Baca,Semoga Bermanfaat ! :)